Insiden nahas maut: Adakah hukuman hanya denda? - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Wed, Mar 15th, 2017

Insiden nahas maut: Adakah hukuman hanya denda?

Image may contain: 2 people, car and outdoor

 

SOALAN cepumas ketika ini: Apakah hukuman yang sesuai dengan kesalahan dilakukan pesalah trafik apabila mereka terbukti menyebabkan kematian? Adakah hukuman mandatori wajar?

Ada netizen mencadangkan hukuman penjara mandatori itu perlu diwujudkan sebagai satu pengajaran yang berkesan kepada mereka yang didapati memandu dengan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan maut.

Bagaimanapun hukuman itu tidak sepatutnya dijatuhi ke atas pesalah secara menyeluruh tanpa meneliti kesalahan itu berdasarkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Itu yang menjadi persoalan netizen kini kerana jika dilihat kepada insiden yang lepas, pesalah hanya dikenakan denda sejumlah kecil wang ringgit dan kemudian perkara itu akan dilupakan begitu sahaja.

Contohnya, pada Januari lalu, seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di Ipoh, Perak selepas mengaku bersalah memandu secara tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kematian.

Muhammad Kamil Roslan, 20, yang memandu kenderaan pelbagai guna didakwa memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang Mohd. Izwan Razali, 31, di Jalan Lahat-Simpang Pulai kira-kira 12.30 tengah malam, 24 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Andai kalau dipenjarakan pun, maksimum setakat 12 bulan sahaja selepas mengambil nyawa orang atas sebab pemanduan yang cuai.

Memang menarik sebab tak kena langsung dan sekadar bayar denda sahaja.

Selain itu, satu lagi kes pada Julai 2013, apabila seorang jurutera didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di Pulau Pinang selepas mengaku bersalah memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian seorang pramugari pada 2010.

Tan Chia Hui, 25, dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu dan mengarahkan tertuduh membayar pampasan RM4,000 kepada keluarga mangsa.

Gila apa diminta bayar pampasan banyak itu kepada keluarga mangsa? Terubatkah rasa sakit hati dan kesedihan dengan pampasan? Bayar segunung wang pun tidak bermakna sebenarnya.

Chia Hui didakwa memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian Ng Sweet Yuin, 27, pukul 3 pagi pada 2 Disember 2010 di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di George Town.

Tertuduh yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan di bawah Seksyen 43(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Bagaimanapun, keluarga mangsa menganggap keputusan hukuman tersebut tidak adil kerana tertuduh hanya dikenakan hukuman ringan iaitu denda RM7,000 dan penjara sekiranya tidak bayar.

Lalu, apakah pula hukuman yang bakal dikenakan terhadap remaja perempuan berusia 19 tahun ini setelah dia dipercayai memandu dalam keadaan cuai dan mabuk hingga menyebabkan kematian di Butterworth, Pulau Pinang, pagi semalam.

Rata-rata netizen mahukan pemandu wanita itu dikenakan hukuman yang setimpal kerana menyebabkan kehidupan orang lain berubah dalam sekelip mata dengan kehilangan orang yang tersayang.

Ada juga netizen mahukan Pejabat Peguam Negara untuk meneliti kembali hukuman terhadap pesalah trafik yang melakukan kesalahan hingga menyebabkan kematian ini.

Pendekatan undang-undang yang lebih berkesan harus digubal segera.

Mereka berpendapat hukuman denda wang ringgit sahaja tidak memberikan sebarang kesan sebaliknya ia dianggap remeh dan tidak memberikan kesan mendalam kepada pesalah.

Nyawa seseorang bukan sesuatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit. Keadilan perlu menyeluruh yakni untuk si mati dan keluarga yang menanggung kesedihan seumur hidup.

Seseorang yang tidak bersalah memandu dengan baik atas jalan tiba-tiba dilanggar mati oleh seorang kaki mabuk atau anak orang kaya yang merasakan dunia ini miliknya yang kemudiannya sekadar perlu membayar denda beberapa ribu.

Di manakah nilai kemanusian dan keadilan dalam isu itu?

Apabila adanya kemalangan yang melibatkan kematian, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang diguna pakai dalam siasatan dan pendakwaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM20,000.

Seseorang yang sabit kesalahan juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau berikutnya, hilang kelayakan selama tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (11)