Biar depa lah! Faiz jawab kritikan mengenai bahasa dan baju - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Jan 12th, 2017

Biar depa lah! Faiz jawab kritikan mengenai bahasa dan baju

Image may contain: 4 people, people standing

 

 

GEORGE TOWN: Mohd Faiz Subri yang dilihat mengalami kesulitan berucap dalam bahasa Inggeris ketika menerima anugerah Puskas di Zurich 2 hari lalu, mempunyai mesej pedas untuk pengkritiknya.

“Biar depa lah!” jawab beliau sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi.

“Terpulang pada depa (mereka) lah, nak kata apa pun… yang penting Faiz dah buat baik,” katanya.

Menurutnya, beliau terpaksa memberikan ucapan dalam bahasa Inggeris kerana jurubahasa tidak disediakan untuk ucapan bahasa Melayu.

Respons Faiz itu susulan beberapa komen di media sosial yang mengusik dan menyindir beliau ketika berada di pentas, selepas beliau diumumkan pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016.

Faiz yang hanya diberikan masa kurang seminit untuk menyampaikan ucapan ringkas dilihat memeriksa telefon bimbitnya untuk teks ucapan, sehingga diusik jaguh bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo sama ada beliau boleh membantu.

Faiz turut menjelaskan mengapa beliau tidak menggayakan baju Melayu pada anugerah itu seperti yang dijanjikan.

“Siapa yang berada di sana tahu, cuaca macam mana kan. Baju kena pakai 3 lapis baru rasa ok sikit.”

Sementara itu, Faiz berkata beliau kini mahu berusaha dipilih ke dalam pasukan kebangsaan.

Ditanya mengenai jadualnya kini selepas dinobatkan sebagai pemenang Puskas sebaris dengan jaguh bola sepak dunia lain, Faiz berkata tidak ada apa-apa perancangan kecuali mahu terus membawa kejayaan untuk pasukannya, Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan Faiz ikon kebanggaan Pulau Pinang dan mengumumkan hadiah RM50,000.

Ia sebagai tambahan kepada sumbangan RM10,000 kerajaan negeri selepas Faiz dicalonkan untuk hadiah Puskas.

Faiz turut menerima hadiah RM150,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir pada majlis menyambut kedatangan Faiz semalam ialah isterinya Nitzawanis Hashim dan anaknya Alif Fayyadh, serta bapa Subri Kader, 64, dan ibunya Saadiah Ishak, 55.

Beberapa sahabat kampung halaman Faiz di Jerlun, Kedah turut sama.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (16)