Nasril turut kirim ucapan tahniah kepada Faiz - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Wed, Jan 11th, 2017

Nasril turut kirim ucapan tahniah kepada Faiz

Image may contain: 1 person, standing

 

 

KANGAR: Mohd Nasril Nourdin – bekas penjaga gol Pahang yang tewas dengan jaringan ajaib Mohd Faiz Subri – mengakui turut berbangga dengan kejayaan pemain itu memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 awal pagi tadi.

Dia yang kini beraksi bersama Perlis mengakui ada mengirimkan ucapan tahniah menerusi pesanan ringkas sejurus pemain tengah Pulau Pinang itu diumumkan sebagai pemenang dalam majlis Anugerah FIFA 2016 di Zurich.

Bagaimanapun, dia yang pernah beraksi bersama Perak, Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) enggan memperkatakan mengenai jaringan itu lagi kerana mahu memberi fokus kepada Singa Utara.

“Saya sendiri ada menghantar ucapan tahniah melalui pesanan ringkas kepada Mohd Faiz. Itu adalah rezeki beliau manakala saya perlu terus berlatih bagi memastikan Perlis mencapai kemenangan.

“Saya kini hanya ingin fokus kepada latihan dan tidak mahu sebarang perkara lain mengganggu tumpuan dalam memantapkan pasukan saya,” kata ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Perlis di Kompleks Sukan Negeri Perlis (KSNPs) di sini hari ini.

Nasril sebelum ini mengakui tergamam ketika sepakan percuma yang dilakukan Faiz menerjah jaringnya ketika Pahang tewas kepada Pulau Pinang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, 16 Februari lalu.

Menurutnya, beliau sudah berada di posisi yang tepat dan bersedia untuk menangkap bola tersebut sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah, membuatkannya terpaku.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments