Polis buru penunggang motosikal viral tendang Proton Waja - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Mon, Jan 9th, 2017

Polis buru penunggang motosikal viral tendang Proton Waja

Image may contain: one or more people, motorcycle and outdoor

 

 

GEORGETOWN: Polis sedang mengesan seorang lelaki terbabit dalam kes buli di jalan raya yang video aksinya menendang sebuah kereta di Jalan Masjid Kapitan Ke.ling di sini hari ini menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja melalui jalan itu sebelum tiba-tiba motosikal dinaiki suspek memotong kenderaannya di sebelah kiri hingga hampir berlaku kemalangan.

“Suspek yang berang dengan kejadian itu mengarahkan mangsa membuka cermin tingkap keretanya tetapi lelaki berkenaan enggan berbuat demikian sebelum dia (suspek) bertindak memukul cermin sisi kenderaan mangsa menggunakan topi kaledar.

“Kejadian itu menyebabkan cermin sisi mangsa pecah serta patah dan dalam masa yang sama suspek mengeluarkan wang sebanyak RM5 lalu membuang ke arah kereta pengadu sebagai ganti rugi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, lelaki itu terus bertindak menendang bahagian pintu pemandu dan penumpang sebelah kiri dengan kakinya beberapa kali sebelum mengugut mahu memukul mangsa.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatannya terus memandu keretanya ke Balai Polis Central dan suspek bertindak mengejar kenderaan itu sambil memukul bahagian badan kereta mangsa dengan topi keledar sehingga ke simpang lampu isyarat di depan Masjid Kapitan Ke.ling.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, kereta mangsa dan motosikal lelaki berkenaan beberapa kali bergeser sehingga menyebabkan suspek terjatuh dan semasa kenderaan mangsa berhenti di lampu isyarat hadapan bangunan 1st Avenue, suspek sekali lagi turun dari motosikal serta menendang bahagian belakang kereta.

“Beberapa orang awam yang berada di situ cuba mententeramkan suspek sebelum dia terus beredar dari situ manakala mangsa yang mengalami kerugian RM1,000 membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, polis telah mengenal pasti penunggang motosikal jenis SYM bernombor pendaftaran PLX 7380 itu dan menyerbu rumah lelaki berkenaan tetapi dia tiada di rumah.

“Jadi saya minta lelaki itu dapat menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Rakaman video kejadian yang memaparkan suspek memukul kereta dan memaki hamun mangsa menjadi viral di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp dan menjadi kritikan netizen. – BERNAMA

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (5)