184,014 warga Singapura tak bayar saman di Malaysia - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sun, Jan 8th, 2017

184,014 warga Singapura tak bayar saman di Malaysia

Image may contain: car, sky and outdoor

 

 

JOHOR BAHRU: Sebanyak 275,663 saman tertunggak dan 5,358 waran tangkap tertunggak melibatkan warga asing direkodkan sejak 2010 hingga tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus.

Beliau berkata daripada jumlah itu, warga Singapura mencatatkan jumlah saman tertunggak terbanyak iaitu 184,014 saman diikuti Brunei (63,696), Thailand (22,334), Indonesia (2,880) dan lain-lain (2,739).

“Bagi waran tangkap tertunggak, warga Thailand mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,116 waran diikuti Singapura (3,423), Brunei (509), lain-lain (274) dan Indonesia (36),” katanya kepada pemberita sempena Ops Saman Tertunggak Warganegara Asing V (OSTWA V), di sini hari ini.

Mengenai OSTWA V, Akhir berkata operasi dilakukan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah di Laluan Kedua Malaysia-Singapura, R&R Pandan Lebuh Raya Penyuraian Timur dan Km2, Jalan Tebrau di sini, mulai Jumaat lepas sehingga hari ini.

Beliau berkata setakat 12 tengah malam tadi, operasi yang melibatkan 200 pegawai dan anggota memeriksa 5,710 kenderaan serta mengeluarkan 55 saman terhadap kenderaan asing.

“Sebanyak 3,275 saman diselesaikan menerusi OSTWA V ini dan polis turut menahan 5 individu membabitkan seorang lelaki warga Singapura, 2 lelaki dan seorang wanita Indonesia serta seorang lelaki warga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata lelaki Singapura berumur 57 tahun yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia itu ditahan di Km2, Jalan Tebrau semalam kerana membawa 3 warga Indonesia yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki warga Malaysia berumur 45 tahun dan memandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu pula ditahan Jumaat lepas kerana mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang petugas operasi menjalankan tugas, katanya.

Beliau berkata kes berkaitan pendatang tanpa izin terbabit disiasat mengikut Seksyen 55E dan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 manakala kes berkaitan mengeluarkan kata kesat disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Akhir berkata Ops Saman Tertunggak Warganegara Asing bertujuan memberikan kesedaran kepada pesalah trafik warganegara asing supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan saman tertunggak.

“Sebelum OSTWA V, operasi yang sama pernah diadakan di bandar raya ini bermula 27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015 (OSTWA I) dan dari 13 hingga 15 Jun 2015 (OSTWA II).

“OSTWA III pula diadakan di Miri dan Limbang, Sarawak bermula 15 hingga 17 Oktober 2015, manakala OSTWA IV di Perlis, Kedah dan Perak dari 19 hingga 22 Mei tahun lepas,” katanya.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (30)