Ah Long salah rumah, suami isteri trauma diugut - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sun, Jan 8th, 2017

Ah Long salah rumah, suami isteri trauma diugut

Image may contain: one or more people

 

 

SEREMBAN: Sepasang suami isteri diselubungi ketakutan apabila menerima notis ugutan dipercayai dilakukan Ah Long yang tersalah sasaran dan tambah meresahkan apabila kediaman mereka turut disimbah cat sebulan selepas menerima notis ugutan.

Mohd Ariffin Ayob, 46, berkata beliau dan isteri bingung kerana dikejar Ah Long dan diserang seperti itu sedangkan dia dan isteri serta 2 anaknya masing-masing berusia 22 dan 21 tahun tidak pernah meminjam dengan Ah Long.

“Kejadian pertama iaitu pada 2 Disember lepas, satu notis ugutan ditampal di bahagian depan kereta yang diparkir di garaj rumah. Kejadian itu hanya disedari isteri saya kira-kira 4 petang ketika hendak menyidai kain. Antara kandungan notis itu tertera nama peminjam dan nombor telefon peminjam yang sememangnya tidak kami kenali.

“Susulan kejadian itu, boleh dikatakan setiap minggu akan ada kereta berhenti, kereta dipandu perlahan dan berlegar-legar di depan rumah saya sehinggalah pada 29 Disember lepas, rumah saya disimbah cat berwarna merah.

“Kejadian ini, hanya disedari isteri saya kerana terdengar bunyi seperti ada barang dibaling di luar rumah, dan ketika isteri meluru ke luar rumah, dia lihat ada benda terbang dan bahagian depan rumah termasuk kereta dipenuhi cat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Ariffin yang bekerja sebagai pembantu peribadi berkata, ketika insiden simbahan cat itu, hanya isterinya bersama beberapa anak orang yang dijaga berada di rumah sebelum isterinya menghubunginya dan beliau terus bergegas pulang ke rumah.

“Kejadian simbah cat ini memang buatkan kami sekeluarga ketakutan dan keresahan. Setiap malam terdengar saja bunyi, saya akan periksa luar rumah, isteri saya pula macam ternampak-nampak lagi benda terbang setiap kali berada di luar rumah.

“Anak saya juga terganggu emosi, apatah lagi ketika kejadian itu, dia ada peperiksaan akhir di universiti. Tambah mengaibkan kami sekeluarga insiden ini berlaku beberapa minggu selepas saya adakan majlis kahwin anak bongsu saya sehingga menjadi buah mulut orang kami meminjam Ah Long untuk buat majlis kahwin anak,” katanya.

Ariffin berkata akibat buntu dengan kejadian itu, beliau bersama jiran tetangga mengadakan solat hajat sebagai ikhtiar diberikan petunjuk.

“Selepas kami terima notis ugutan itu, saya ada hubungi peminjam berdasarkan nombor telefon yang tertera pada notis itu, saya mesej dan Whatsapp namun tiada respons, saya beranggapan peminjam sebenar ini hendak lepas tangan dan biarkan kami terus dikejar Ah Long.

“Jadi berdasarkan gambar profil WhatsApp yang ada pada nombor berkenaan, saya sebarkan pada jiran kalau mereka kenal.

“Saya adakan juga solat hajat dan akhirnya selang beberapa hari kemudian, saya dimaklumkan kakak ipar, peminjam sebenar dikenal pasti seorang jiran di kawasan taman perumahan saya. Jadi saya kemukakan identiti peminjam ini kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban semalam, akhirnya dia dan peminjam bertemu di depan polis dan berbincang tentang apa yang berlaku dalam usaha menyelesaikan masalah yang sedang dilalui.

“Peminjam memang tidak mahu mengaku dia ada buat pinjaman dengan Ah Long, tetapi selepas telefon bimbitnya diperiksa, akhirnya terbongkar memang dia ada buat pinjaman dengan Ah Long berdasarkan mesej ugutan diterimanya dan jumlah pinjaman.

“Daripada situ baru saya tahu, notis ugutan diterima peminjam melalui telefon bimbit tetapi serangan daripada Ah Long kami sekeluarga yang kena,” katanya.

Selepas semakan dibuat, rupa-rupanya nombor rumah peminjam sama dengan rumah Airffin tetapi berbeza taman perumahan.

Ariffin berkata, melalui perbincangan semalam, dia dan isteri berharap keluarganya tidak lagi diganggu Ah Long kerana tidak pernah dengan meminjam.

“Kejadian ini telah menyebabkan saya mengalami kerugian RM6,000 untuk bersihkan cat di depan rumah, kereta, kasut dan baju yang disidai semua habis dibuang kerana terkena cat.

“Saya juga terpaksa memasang kamera litar tertutup untuk keselamatan kami sekeluarga. Tetapi saya hanya harap kejadian ini akan berakhir,” katanya.

 

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (15)