Cikgu Matematik dipenjara lepas kalah rayuan kes perkosa murid - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sat, Jan 7th, 2017

Cikgu Matematik dipenjara lepas kalah rayuan kes perkosa murid

Image may contain: 1 person

 

 

PUTRAJAYA – Seorang guru Matematik yang mendakwa mengalami mati pucuk, masih perlu berdepan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan rotan selepas kalah dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan kerana kesalahan merogol seorang pelajar sekolah rendah.

Mohd Faddil Abdul Rahman, 42, disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Seremban tahun lepas atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan, ketika itu berumur 12 tahun, yang pergi ke rumahnya pada September 2013 untuk belajar.

Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan rotan bagi setiap kesalahan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Dia pada mulanya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Januari 2014 berdasarkan keterangan oleh seorang pakar perubatan yang disokong oleh isterinya bahawa dia mengalami mati pucuk semasa kesalahan itu didakwa dilakukan tetapi Mahkamah Tinggi meminda keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Mohd Faddil kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan Mohd Faddil dan mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan.

Hakim Raus turut menolak rayuan balas pendakwaan supaya hukuman penjara ditambah dengan berkata sungguhpun mahkamah bersetuju bahawa kesalahan itu serius tetapi tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk meminda hukuman penjara disebabkan Mahkamah Tinggi telah pun mengambil kira seriusnya kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memberitahu mahkamah Mohd Faddil telah berjumpa seorang pakar andrologi untuk menjalani pemeriksaan, lapan bulan selepas insiden rogol itu dan dia didapati mengalami mati pucuk.

Beliau berkata dapatan pakar perubatan itu tidak kukuh disebabkan jawapan yang diberi oleh pakar andrologi itu di tempat duduk saksi adalah “barangkali” yang menunjukkan beliau tidak pasti bilakah Mohd Faddil mengalami mati pucuk.

Tengku Intan berkata Mohd Faddil tidak mengemukakan rekod perubatannya untuk membuktikan bahawa dia mengalami mati pucuk ketika insiden itu berlaku.

Beliau turut memohon hukuman penjara lebih berat dengan berkata Mohd Faddil mengambil kesempatan dua kali ke atas pelajar perempuan itu.

Peguam Datuk Hanif Hassan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi, dalam mengetepikan pembebasan Mohd Faddil, gagal mempertimbangkan keterangan pakar perubatan dan isteri Mohd Faddil bahawa dia (Mohd Faddil) mengalami mati pucuk.

Berdasarkan fakta kes, semasa insiden itu berlaku, tiada orang lain di rumah berkenaan dan pelajar itu turut disuruh melakukan seks oral.

Mangsa memberi keterangan mengenai serangan itu dengan begitu terperinci, termasuk gambaran tentang alat sulit penyerangnya.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (26)