Azimah pulang selepas setahun hilang di Tanah Suci

19

Image may contain: 1 person, standing

 

 

KUALA LUMPUR: Nor Azimah Ibrahim, jemaah umrah Malaysia yang hilang sejak 19 Disember 2015 di Madinah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Nor Azimah, 32, dilaporkan tiba di KLIA kira-kira jam 12 tengah hari tadi menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH151 dari Jeddah, Arab Saudi. Perkara itu disahkan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohammad Ali Selamat. Mohammad Ali berkata, Nor Azimah ditemui pada 13 Disember lalu selepas pejabat konsul dihubungi pihak berkuasa Arab Saudi.

“Ketika itu, pegawai pihak berkuasa terbabit memberitahu Nor Azimah ditahan di pusat tahanan imigresen di Makkah. “Sejak dari itu, pejabat konsul berusaha untuk membawanya pulang ke Malaysia dengan menguruskan semua dokumen yang diperlukan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau berkata, Nor Azimah yang tiba di KLIA dijemput kedua ibu bapanya, Ibrahim Abdul Rahman dan Zamhani Zakaria. Nor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun dan berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember 2015.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, Nor Azimah tidak mengikut ibu bapanya ziarah ke tempat bersejarah di Madinah kerana mahu menumpukan kepada ibadat di masjid, sebelum hilang. Sementara itu, bapa Nor Azimah bersyukur atas kepulangan anak sulungnya itu. Ibrahim turut merakamkan penghargaan atas bantuan pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia selama ini.

“Hari ini, selepas lebih setahun, kami dapat bertemu kembali dengan anak kami. “Kami belum bertanya kepada Nor Azimah apa yang berlaku sepanjang kehilangannya di sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya, petang tadi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments