Azab api neraka sukar dibayangkan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Fri, Dec 16th, 2016

Azab api neraka sukar dibayangkan

Image may contain: fire

 

 

Mukmin beriman akan sentiasa mencari jalan untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT. Kesengsaraan menghuni neraka seperti yang sering digambarkan harus menjadi benteng daripada melakukan dosa di dunia.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsian slot Mau’izati di IKIMfm berkata, amat rugi sekiranya kehidupan seseorang Mukmin tidak dimanfaat sebaiknya mencari jalan ke syurga. Dalam perjalanan menuju syurga, ada kawah neraka yang menyebabkan ramai dalam kalangan umat manusia tidak terlepas daripada terhumban ke dalamnya kerana kelalaian dan keingkaran terhadap perintah Allah.

Keadaan ini amat merugikan apabila perjalanan umur yang dilalui di dunia ini dibiarkan berlalu dalam keadaan tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapi Hari Kiamat. Kalimah yang disebut oleh Allah SWT bagi menggambarkan kesengsaraan penghuni neraka ialah: “Kekallah kamu di dalam neraka itu buat selama-lamanya.”

Bagi manusia yang dihumban ke dalam neraka dan kekal di dalamnya, maka tidak ada manfaat baginya perjalanan hidup sebelum ini. Walaupun ketika hidup di dunia dahulu banyak harta yang dikumpulkan, mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh, semua itu tiada faedah apabila kesudahannya kita menjadi penghuni neraka.

Kehidupan ini bermanfaat apabila dipilih untuk menjadi penghuni syurga, yang juga kegembiraan sebenar bagi orang Mukmin. Allah SWT menangguhkan azab kepada manusia dan tidak menghukum manusia ketika hidup di dunia sebelum tibanya hari akhirat. Manusia yang melakukan dosa dan maksiat di dunia ditangguhkan azab pada hari pembalasan kelak.

Hebatnya balasan kesengsaraan kepada mereka apabila dihumban ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Syufa bin al Matti bin Asbahi pernah masuk ke dalam Kota Madinah dan melihat orang ramai mengerumuni seseorang dan bertanya apakah yang dilihat mereka.

Mereka menjawab bahawa mereka sedang mendengar kuliah daripada Abu Hurairah dan kemudian beliau turut bersama-sama mendengar kuliah itu. Apabila selesai kuliah itu dan orang ramai mula bersurai, Syufa mendekati Abu Hurairah lalu bertanya kepada beliau: “Aku ingin mengatakan kepadamu suatu perkara, bolehkah kamu menceritakan satu hadis yang kamu dengar terus daripada Rasulullah SAW?”

Lalu Abu Hurairah menceritakan satu peristiwa sambil menangis dan mengusap wajahnya, hadis ini disampaikan kepadanya ketika bersendirian bersama Baginda. Abu Hurairah menangis teresak-esak sehingga tersungkur wajahnya dan apabila dia sedar semula, dia menceritakan bahawa Rasulullah menyebut: “Hari Kiamat nanti, akan turun Allah SWT kepada hamba untuk mengadili mereka. Tiga golongan awal dipanggil untuk diadili Kemudian pada waktu itu semua manusia berlutut. Orang pertama sekali dipanggil oleh Allah ialah mereka yang rajin membaca al-Quran.

Orang kedua yang dipanggil ialah orang yang mati di jalan Allah SWT dan ketiga ialah orang yang banyak hartanya dan suka menderma. Lalu Allah SWT bertanya kepada orang yang rajin membaca al-Quran itu: “Dahulu Aku ajarkan kepadamu membaca al-Quran, apa yang diturunkan Allah SWT kepada kamu telah dibaca dan diketahui.”

Orang itu menjawab: “Benar wahai Tuhanku.” Lalu Allah SWT bertanya lagi: “Lantas, apakah yang kamu lakukan dengan apa yang kamu ketahui?” Pembaca al-Quran berkata: “Kami ini ya Allah, beramal sepanjang siang dan malam berdasarkan apa yang terdapat di dalam al-Quran.” Allah SWT menyebut: “Kamu berbohong.” Begitu juga yang dikatakan oleh malaikat. Allah SWT berfirman: “Ketika kamu membaca al-Quran dahulu hanya untuk digelar sebagai seorang pembaca yang hebat dan bukan kerana Aku dan untuk dipuji mempunyai suara yang merdu.”

Lalu Allah SWT memerintahkan kepada malaikat agar mengambil orang yang membaca al-Quran itu untuk dihumban ke dalam neraka. Seterusnya dipanggil pula orang yang berharta dan suka menderma itu dan Allah SWT bertanya: “Tidakkah dahulu Aku luaskan rezeki untukmu, rezeki yang banyak.

Kemudian di dalam keadaan Aku tidak membiarkan kamu dengan memberikan apa yang kamu hajati, apakah kamu membantu orang lain dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadamu.” Lalu orang itu menjawab: “Ya wahai Tuhanku, kami telah membantu.” Allah SWT berkata: “Sewaktu Aku berikan kepadamu, apakah lagi yang telah kamu lakukan?”

Orang itu menjawab: “Kami menyambung silaturahim dengan rezeki yang banyak itu dan kami bersedekah ke jalan Allah SWT.” Allah menjawab kembali: “Kamu berbohong.” Malaikat menyatakan perkara yang sama dan memberitahu bahawa orang itu menderma untuk menunjukkan dirinya seorang dermawan.

Kemudian Allah memerintahkan agar orang itu diheret dan dihumban ke dalam neraka. Dipanggil pula orang yang mati berjihad ke jalan Allah SWT dan ditanya tidakkah mereka berperang sehingga terbunuh. Lalu dia menjawab: “Ya, ya Allah. Kami berjuang dan terhumban di jalan Allah SWT sampai kami terbunuh demi mempertahankan agama Allah.”

Jawapan itu disangkal Allah SWT dan malaikat kerana orang itu berbohong dan hanya mahukan pujian manusia yang menyatakan dia adalah pahlawan terhebat. Lalu orang itu juga dimasukkan ke dalam neraka. Ketika menyampaikan hadis ini, Baginda kemudian menepuk bahu Abu Hurairah dan berkata padanya bahawa ketiga-tiga orang itulah yang pertama sekali akan dijilat api neraka pada Hari Kiamat kelak.

Seperti yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsian slot Mau’izati di IKIMfm, kesengsaraan di dalam neraka seterusnya ialah ukuran fizikal penghuninya diperbesarkan saiznya kerana api itu sendiri terlampau panas. Api neraka 70 juzuk lebih panas daripada dunia Api di atas dunia hanya satu pertujuh puluh daripada api di dalam neraka.

Di dalam hadis yang di sampaikan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Api yang berada di atas dunia ini, hanya satu juzuk daripada 70 juzuk api neraka Allah SWT.” Sahabat bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah, sekiranya neraka seperti api dunia, itu sudah mencukupi.” Baginda menjawab: “Api neraka dilebihkan ke atas api dunia dengan 69 bahagian lagi, yang setiap bahagiannya sama dengan panasnya api di dunia ini sendiri.”

Firman Allah di dalam Surah al-Waqiah, ayat 61 hingga 62 mafhumnya: “(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.

Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).”

Rasulullah SAW bersabda: “Gigi taring penghuni neraka sama besarnya dengan Bukit Uhud dan tebal kulit mereka, jika kamu berjalan untuk menghabiskan jaraknya ialah selama tiga hari.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Saiz fizikal penghuni neraka dibesarkan Allah SWT untuk menambahkan kesengsaraan mereka ketika diazab nanti. Malah wajah mereka berubah menjadi hitam legam dan dicacatkan serta sangat menakutkan.”

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (31)