Anggota badan jadi saksi kejahatan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Fri, Sep 9th, 2016

Anggota badan jadi saksi kejahatan

 

ORANG yang paling selamat ketika berada di Padang Mahsyar ialah mereka yang datang kepada Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh ketenangan. Namun, ada yang datang dalam keadaan takut dengan bebanan tanggungjawab tidak terlaksana dan saat paling menakutkan apabila tiba masanya disoal amalan di dunia.

Manusia akan sentiasa menolak dakwaan yang dihadapi ketika diadili di Padang Mahsyar kerana tidak dapat menerima hakikat mereka melakukan perbuatan itu tanpa ada bukti atau saksi. Lalu Allah SWT menjadikan saksi untuk orang yang melakukan perbuatan baik atau jahat.

Orang yang tenang hatinya kerana jaminan pengadilan Allah SWT lebih baik daripada pengadilan manusia. Di antara saksi yang akan tampil untuk tujuan pembuktian adalah tubuh badan manusia sendiri seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada waktu itu Kami kuncikan mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi apa yang mereka usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Mulut akan ditutup Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, mulut manusia akan sentiasa menipu atau membangkang dan sebab itu mulut ditutup. Tangan dan kaki akan bercakap sebagai saksi atas segala perbuatan dilakukan ketika hidup di muka bumi.

Begitu juga anggota tubuh lain seperti firman yang bermaksud: “Dan (selepas berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap sesuatu pandai berkata-kata, menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).” (Surah al-Fussilat, ayat 21)

Oleh itu bertakwalah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW juga menceritakan menerusi hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa pada Hari Kiamat nanti, seluruh manusia akan datang dalam keadaan bisu. Di antara kalimah pertama keluar daripada anak Adam adalah daripada peha dan telapak tangannya.

Berhati-hatilah manusia kerana setiap anggota tubuh akan menjadi pendakwa, jika perbuatan dilakukan baik maka perkara baik akan disampaikan ketika diadili di hadapan Allah SWT nanti, begitu juga dengan perbuatan buruk. Setiap manusia akan hidup berdasarkan acuan yang dibentuk, jika dibentuk menjadi seorang beramal soleh maka baiklah tubuh badannya. Namun jika dibentuk dengan acuan buruk, maka begitulah dirinya.

Ganjaran setiap amalan baik Melakukan amalan baik ada kalanya meletihkan berbanding melakukan kemungkaran dan kejahatan tetapi harus diingat setiap amalan baik itu ada ganjaran disediakan oleh Allah SWT.

Ulama membincangkan persoalan kenapa manusia datang di hadapan Allah SWT dalam keadaan bisu dan berdasarkan penjelasan Baginda Rasulullah SAW, anggota tubuh dapat berkata-kata untuk memalukan orang melakukan kejahatan di hadapan semua makhluk di akhirat kerana mengingkari larangan Allah SWT.

Selain itu apabila membaca kitab surat amalan masing-masing, ada dalam kalangan manusia yang tidak memahami catatan itu dan tidak mengakui dia melakukan perbuatan buruk ketika hidupnya. Lalu Allah SWT menutup mulutnya dan digantikan anggota badannya yang lain untuk bercakap dan menjadi saksi. Ketika anggota badan mula berkata-kata, akan terus tergambar pada riak wajahnya reaksi terhadap pengadilan di hadapan Allah SWT itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:”Orang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka).” (Surah al-Rahman, ayat 41) Selain itu alam turut menjadi saksi di Padang Mahsyar apabila bumi diberi peluang berkata-kata dan menceritakan segala perbuatan hamba Allah SWT ketika berjalan di atas permukaan.

Ibnu Mubarak daripada Abdullah bin Amru bin Asr menyebut: “Sesiapa yang sujud di suatu tempat, berhampiran pohon atau batu, maka mereka akan menjadi saksi bagi dirinya pada Hari Kiamat nanti.” Selain itu Rasulullah SAW juga mengingatkan sesungguhnya harta bagaikan permata hijau yang cantik dalam keadaan memikat.

Sebaik-baik orang Islam yang memegang harta ini hendaklah dia membahagikan hartanya kepada orang miskin, anak yatim dan menginfaqkannya ke jalan Allah SWT.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (17)