Kes Najib batal saman Tun M bulan depan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Aug 4th, 2016

Kes Najib batal saman Tun M bulan depan

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 November‎ bagi mendengar permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan salah laku membabitkan dana pembangunan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Abu Bakar Jais hari ini yang turut dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir dan dua lagi.

Najib, pada 19 April, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman ketiga-tiga mereka atas alasan tidak terdapat elemen perbuatan salah laku dan pecah amanah sebagai penjawat awam seperti didakwa oleh ketiga-tiga plaintif.

Dr Mahathir, 90, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan salah laku di pihak perdana menteri melibatkan dana pembangunan strategik 1MDB.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah mengarahkan plaintif-plaintif memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Najib untuk membatalkan saman itu pada 5 September manakala defendan diperintahkan memfailkan afidavit balasan pada 19 September.

Muhammad Rafique pula memaklumkan bahawa pihaknya mendapat arahan daripada ketiga-tiga anak guamnya untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim itu yang menolak permohonan Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina untuk memeriksa balas Najib berhubung afidavit sokongannya dalam saman itu.

“Kami beranggapan bahawa permohonan (memeriksa balas Najib) boleh dikemukakan semasa pendengaran untuk batalkan saman itu,” katanya.

Pada 27 Julai lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina untuk memeriksa balas Najib dengan alasan tidak perlu berbuat demikian  kerana isu (mengenai pegawai awam) patut diputuskan selepas permohonan Najib untuk membatalkan saman Dr Mahathir dan dua lagi, didengar. – Bernama

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (30)