Kakitangan Matrade hilang sejak 30 Julai - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Thu, Aug 4th, 2016

Kakitangan Matrade hilang sejak 30 Julai

 

PETALING JAYA: Seorang kakitangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ahmad Shazali Zakaria dilaporkan hilang sejak 30 Julai lalu.

Bapanya, Datuk Zakaria Kamaruddin, yang juga bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade berkata, Ahmad Shazali kali terakhir dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan bangunan Matrade di Jalan Duta selepas selesai tugas pada kira-kira pukul 4.20 petang.

Zakaria berkata, menurut rakaman tersebut, anaknya memandu kereta Proton Gen 2 dengan nombor pendaftaran BJF2455.

Walaupun Zakaria memberitahu bahawa beliau tidak mengetahui sama ada anak lelakinya itu menerima sebarang ancaman, tetapi beliau mendedahkan Ahmad Shazali pernah mengadu mengenai isu kewangan dan keluarga kepada bapanya.

Zakaria berkata, beliau akan memberikan keterangan kepada polis Sentul tidak lama lagi, dan sebelum ini terdapat laporan yang dibuat oleh rakan Ahmad Shazali di Subang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes laporan kehilangan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Ahmad Shazali diminta untuk menghubungi balai polis terdekat.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments