Harga minyak dijangka kukuhkan ringgit - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sun, Apr 17th, 2016

Harga minyak dijangka kukuhkan ringgit

 

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus kukuh minggu depan berikutan harga minyak mentah Brent sekitar AS$43 dolar setong, sekali gus memulihkan keyakinan terhadap unit tempatan itu.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata sentimen optimis terhadap ringgit itu akan membantu daripada segi pendapatan untuk sektor minyak dan gas Malaysia.

“Susulan kenaikan harga minyak sawit dan getah, kita menjangkakan momentum komoditi ini akan seterusnya menyokong sentimen (terhadap ringgit) pada minggu depan,” katanya.

Menurutnya, ini turut didorong data perdagangan China yang kekal positif serta kukuh yang membuktikan kestabilan ekonomi negara itu.

Mengulas perkembangan dalam negara, Nazri Khan menyifatkan Pilihan Raya Negeri Sarawak kali Ke-11 akan datang, akan menjadi pemangkin domestik bagi menyokong sentimen positif terhadap ringgit.

“Bagi suku pertama tahun ini, (kemasukan) dana asing yang menjadi pembeli bersih sebanyak RM5.5 bilion yang ternyata berbeza daripada aliran keluar bersih sebanyak RM3.3 bilion bagi tempoh sama, setahun lalu,” katanya.

Ringgit diniagakan pada 3.9000/0100 berbanding dolar AS pada Jumaat iaitu lebih rendah daripada 3.9000/9050 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.8683/8773 daripada 2.8521/8554 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.5656/5757 daripada 3.5626/5663, pada Khamis.

Ia turut susut berbanding pound British kepada 5.5232/5381 daripada 5.5012/5074 pada Khamis dan rendah berbanding euro kepada 4.3930/4046 daripada 4.3825/3866, semalam. – BERNAMA

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments