BMW M2, pacuan roda belakang, 370hp, 465Nm, kompak - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sun, Apr 3rd, 2016

BMW M2, pacuan roda belakang, 370hp, 465Nm, kompak

 

JENTERA ‘M’ terbaharu daripada BMW sudah dilancarkan di Malaysia, dan model M2 ini cukup istimewa; antara lain kerana ia tiba di negara ini hana lebih kurang dua bulan selepas debut globalnya di pameran kereta Detroit.

Ketika memperkenalkan Coupé berprestasi tinggi baharu daripada BMW ini, Ketua Jualan BMW Group Malaysia, Raymond Tan berkata, “BMW M2 Coupé baharu ialah sebuah kereta yang sangat istimewa. Ia dihasilkan dalam jumlah yang terhad di seluruh dunia. Jadi, kita sangat bertuah kerana diperuntukkan beberapa unit untuk pasaran Malaysia sempena sambutan Ulang Tahun ke-100 BMW Group.”

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan M2 ini begitu mencuri perhatian, termasuk unjuran hadapan (front overhang) yang pendek, bonet, tapak roda panjang, bingkai tingkap belakang klasik BMW Hofmeister dan elemen reka bentuk signatur M jelas mengukuhkan lagi ekspresi dinamiknya. Selain itu saiznya juga amat kompak, tidak seperti banyak model-model zaman moden sekarang.

BMW M2 Coupé baharu disempurnakan lagi dengan apron belakang yang lebar. Ia disepadukan dengan penyerap udara dan dua paip ekzos BMW M berwarna krom berkilat.

Dilengkapi enjin 3-liter, 6-silinder sebaris dengan teknologi M TwinPower Turbo dan pengecas turbo TwinScroll, BMW M2 baharu ini boleh menghasilkan 370hp dan tork 465Nm. Tidak cukup dengan itu, jumlah tork boleh mencapai setinggi 500Nm dalam tempoh singkat menerusi fungsi ’overboost’.

Dipadankan dengan kotak gear klac berkembar M tujuh kelajuan dan fungsi ‘Launch Control’, BMW M2 Coupé mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

Salah satu ciri menarik yang dipadankan dengan model ini adalah ‘Smokey Burnout’ yang membolehkan pemandu memusingkan tayar belakang dengan ligat dan kereta bergerak pada kelajuan rendah.

Komponen spesifik M lain yang turut memainkan peranan penting dari segi dinamik ialah Active M Differential yang dikawal secara elektronik. Ia mengoptimumkan cengkaman dan kestabilan ketika mengubah haluan. Sementara Dynamic Mode M dengan sistem Dynamic Stability Control pula menawarkan keseronokan pemanduan dengan membenarkan tayar untuk melakukan drift secara terkawal di atas trek.

Harga di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama Lima Tahun BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar untuk BMW M2 Coupé baharu ialah RM498,800.

BMW M2 Coupé baru didatangkan dalam warna biru metalik (Long Beach Blue Metallic) sahaja.

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (13)