Harga kereta Proton dijangka naik selepas Tahun Baru Cina

33

PETALING JAYA – Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd. mungkin perlu menaikkan harga keretanya selepas Tahun Baru Cina pada Februari ini memandangkan kos mengimport komponen meningkat disebabkan penyusutan ringgit.

“Ringgit kini lebih rendah berbanding setahun lalu, yang mempengaruhi harga komponen import kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Harith Abdullah selepas perlantikan pengedar baru di sini hari ini.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.3930/4000 berbanding dolar AS, jauh berbeza daripada paras 3.57 semasa didagangkan pada masa yang sama tahun lepas.

Harith berkata, Proton berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga sehingga Tahun Baharu Cina bagi membolehkan pelanggannya menikmati kereta baharu pada harga semasa.

Menurut Proton, 20 hingga 30 peratus daripada komponen dalam kenderaannya diimport.

Honda Malaysia menaikkan harga kereta keluarannya sebanyak 2 hingga 3 peratus tahun ini, manakala UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa syarikat juga akan menaikkan harga produknya sebanyak 4 hingga 16 peratus mulai bulan ini.

Mitsubishi Motors Malaysia juga telah membayangkan akan mengambil langkah yang sama. – Bernama

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments