PAU2015 dirampas elitis, 'sida-sida politik'? - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sat, Dec 12th, 2015

PAU2015 dirampas elitis, ‘sida-sida politik’?


SEJAK dahulu lagi, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dianggap sesuatu yang besar. Bukan sahaja kerana ia adalah perhimpunan parti terbesar orang Melayu, tetapi juga kerana PWTC – bangunan tempat perhimpunan itu diadakan – sentiasa merakamkan sejarah-sejarah penting.

Saban tahun, perhimpunan itu menarik perhatian umum. Pemimpin dan perwakilan menghadirinya dengan semangat berkobar-kobar. PWTC pula bergema dengan perbahasan yang nyaring membawa suara rakyat. Suasananya acapkali dicoretkan warna-warna perpaduan dan semangat kekitaan ahli-ahlinya.

Secara tradisinya, PAU terbuka kepada rakyat biasa yang lazimnya memenuhi ruang legar PWTC. Ada yang datang secara rombongan, ada yang sanggup bersusah payag datang dari jauh membawa anak-anak dengan belanja sendiri.

Sudah lumrah menyaksikan pemandangan ribuan orang duduk bersila di lantai mengikuti perhimpunan melalui layar gergasi yang disediakan.

Tapi itu dahulu. PAU 2015 yang sedang berlangsung menampakkan sisi berbeza, seolah-olah ia hanya untuk golongan tertentu sahaja. Terlalu banyak kerenah dan sekatan diwujudkan. Semuanya perlukan kad atau tag nama.

Tanpanya, anda tidak akan dibenarkan masuk meskipun ahli menunjukkan kad keahlian. Bayangkan, ahli UMNO sendiri pun disekat, apatah lagi rakyat biasa.

Persoalan yang mengasak minda ialah: apa perlunya semua sekatan ini? Kenapa seakan sedang dibina tembok pemisah untuk mengasingkan pemimpin parti dengan ahli-ahli? Atau apakah UMNO ini sudah menjadi tempat untuk golongan elitis sahaja?

Ada yang berteori bahawa sekatan ini bertujuan untuk menyekat kumpulan-kumpulan yang tidak sekepala dengan presiden, menjurus perbalahan antara Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir serta orang nombor dua UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dikatakan wujud kebimbangan mengenai keselamatan. Wujud juga kekhuatiran PAU2015 akan ‘ditawan’ kumpulan ini.

Namun, penulis fikir adalah mustahil itu berlaku kerana pucuk pimpinan UMNO awal-awal lagi menyatakan keyakinan tinggi bahawa mereka masih mendapat sokongan majoriti pemimpin dan ahli UMNO.

Realitinya, dalam keadaan rakyat menuntut penjelasan atas pelbagai isu terutamanya kenaikan kos hidup yang menghimpit, UMNO tidak wajar memilih bersikap menjauh dengan mewujudkan sekatan-sekatan gila ini.

Kerenah dan sekatan-sekatan ini tidak akan membantu UMNO. Pucuk pimpinan termasuk Najib tahu mengenai hakikat ini. Atau adakah semua ini adalah hasil buah fikiran penasihat-penasihat sekeliling presiden yang berlebih-lebihan kononnya mahu melindungi pemimpin?

Atau mungkinkah juak-juak ini sengaja tidak mahu pemimpin mengetahui keadaan dan senario sebenar rakyat pada hari ini? Andai begitulah yang berlaku, UMNO sebenarnya sudah ditawan golongan yang sedang merosakkan parti itu dari dalam.

Ini mengingatkan kepada apa yang berlaku pada zaman pemerintahan maharaja China apabila sistem politiknya dilemahkan oleh golongan eunuch atau sida-sida istana yang tidak mahu maharaja mengetahui realiti keresahan dan penderitaan rakyat.

Ketika pemerintahan maharaja berdepan kritikan rakyat, mereka menyakinkan bahawa semua itu hanya khabar angin. Suara dan rintihan rakyat disekat daripada pengetahuan maharaja dan ditutup dengan bodek-bodek dan cerita-cerita indah.

Pengaruh sida-sida ini bermula melemahkan kerajaan dan menghancurkan empayar semasa zaman kerajaan Han Huan Ti yang berkuasa antara 146-67 Selepas masihi. Begitu juga pada zaman maharaja terakhir China, Pu Yi yang ditatang oleh ibu dan para sida-sida sehinggakan tidak pandai meskipun untuk mengikat tali kasut sendiri.

Akhirnya, apabila berlaku kebangkitan rakyat yang didorong pengaruh musuh politik yang kuat, maharaja tercengang. Pu Yi misalnya mengakhiri pemerintahannya dengan aib, malah turut dipenjara sekaligus mengakhiri abad pemerintahan dinasti di China.

Persoalannya, apakah relevannya sejarah China ini kepada UMNO yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-69? Ia relevan kerana sudah nampak kewujudan ‘sida-sida’ di sekeliling pemimpin, yang takut kedudukan dan jawatan terancam jika keadaan sebenarnya diketahui.

Jika dibiarkan, parti keramat UMNO ini bakal berdepan kerosakan dan kehancuran. UMNO tidak banyak masa lagi. Parti itu tidak akan mampu hidup hanya dengan bergantung kepada perpecahan PAS, PKR dan Amanah.

Tidak mustahil, suatu hari nanti pakatan yang berpecah ini akan kembali bersatu atas faktor DAP – parti yang secara agresif mengambil peluang membina kekuatan di sebalik kelemahan UMNO sekarang. DAP semakin megah dengan sokongan Cina, sementara parti Melayu yang bersimpang-siur akibat perpecahan, akan terus berpecah gara-gara politik emosi.

Sida-sida politik zaman baru tidak boleh dibiarkan terus menjadikan keadaan lebih parah. Golongan ini hanya akan melemahkan dan akhirnya meruntuhkan UMNO. Realitinya, menyelamatkan parti ialah dengan membela rakyat, bukan membodek pemimpin. – New Malaysian Post

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (31)