Ringgit dijangka cecah RM4.50 berbanding AS$ minggu depan - NewMalaysianPost.comNewMalaysianPost.com

Published On: Sat, Oct 3rd, 2015

Ringgit dijangka cecah RM4.50 berbanding AS$ minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan pada kadar 4.40 hingga 4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan prestasi dagangan yang positif sejajar harga komoditi yang lebih stabil.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata tekanan akibat kelemahan harga komoditi dijangka reda pada bulan-bulan akan datang seperti dipaparkan menerusi kestabilan harga minyak mentah.

“Harga minyak mentah kini lebih stabil berbanding sebelumnya iaitu berlegar antara AS$45 dan AS$47 setong. Jika tiada tekanan susulan daripada harga komoditi, ia akan memberi kesan positif kepada Ringgit,” katanya.

Dia berkata, peniaga turut memberi tumpuan kepada pengumuman data pekerjaan AS yang akan memberi petunjuk sama ada pihak Rizab Persekutuan (FED) akan menaikkan kadar faedah menjelang akhir tahun ini.

Namun, Pong sebaliknya berpendapat data pekerjaan itu hanya memberi impak kecil terhadap keputusan FED untuk menaikkan kadar faedah berkenaan.

“Pihak FED jelas sekali tidak akan menaikkan kadar faedah. Kegagalan data pekerjaan itu untuk melepasi paras 200,000 peluang pekerjaan baharu secara konsisten akan menjadi asas bagi pihak FED untuk tidak menaikkan kadar faedah,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit susut kepada 4.4100/4180 daripada 4.3800/9000 berbanding dolar pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global serta kelembapan ekonomi China.

Unit tempatan itu turut mencecah paras 4.4770 berbanding dolar pada Selasa lepas, iaitu terendah sejak Januari 1998 ketika krisis kewangan Asia, sebelum naik kepada 4.4540.

Ia turut rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain. Ringgit bagaimanapun naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0747/0811 daripada 3.0758/0835 Jumaat lepas, tetapi susut berbanding yen kepada 3.6704/6783 daripada 3.6180/6269 minggu depan.

Ia rendah berbanding Pound Sterling pada 6.6834/6977 daripada 6.6699/6868 minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 4.9224/9323 daripada 4.8784/8900 pada Jumaat lepas.

 

 

 

–BERNAMA

Email this to someoneShare on Google+Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on RedditShare on StumbleUponBuffer this pageDigg this

Comments

comments

Error. Page cannot be displayed. Please contact your service provider for more details. (18)