Dilarang berceramah, kini CD, VCD ustaz Azhar Idrus dijual di Kelantan

74

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Azhar Idrus dilarang menyampaikan ceramah agama di Kelantan bukan arahan baru.

Sebaliknya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengeluarkan arahan itu sejak tahun 2011 lagi.

Bagaimanapun, disebabkan sikap sesetengah penganjur yang degil, membawa masuk penceramah bebas itu ke majlis agama anjuran mereka menyebabkan Azhar dilihat seperti sudah mendapat pentauliahan.

Namun, menyedari usaha menjemput Azhar untuk menyampaikan ceramah agama di negeri itu semakin menjadi-jadi, mendorong MAIK mengulangi arahan berkenaan supaya penganjur tidak sekali-kali membawa masuk penceramah dari Terengganu itu mulai bulan ini.

Setiausaha MAIK, Che Hamat Che Muda berkata, penguatkuasaan larangan membenarkan Azhar menyampaikan ceramah agama di Kelantan masih diteruskan dan pihaknya tidak pernah menarik balik arahan itu.

 

Beliau berkata, sepatutnya Azhar yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Azhar Idrus itu tidak pernah berusaha membuat permohonan bagi mendapatkan tauliah MAIK untuk mengajar di negeri ini.

 

“Justeru, kerana beliau tidak pernah memohon, maka kita mengambil keputusan mengeluarkan arahan melarangnya masuk mengajar di negeri ini.

 

“Azhar boleh berbuat demikian dengan datang ke pejabat MAIK dan isi borang. Setelah kita meneliti dan berpuas hati, barulah kita berikan pentauliahan. Tetapi beliau tidak menggunakan kesempatan ini,” katanya.

 

Sementara itu, beberapa individu dipercayai daripada penganjur tetap Azhar menjalankan kegiatan menjual cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) mengandungi siri ceramah ustaz berkenaan di sekitar Kota Bharu.

 

Penjualan dari individu ke individu itu boleh dilihat di sekitar bandar Kota Bharu dengan setiap penjual membawa tiga jenis atau siri CD dan VCD ceramah Azhar pada harga RM10 seunit.

 

MalaysiaGazette yang secara kebetulan berada di satu lokasi yang menjadi tumpuan peniaga itu, sempat bertanya mengenai usaha mereka itu.

 

Katanya, mereka terpaksa menjual CD dan VCD siri ceramah Azhar kerana penceramah berkenaan tidak lagi dibenarkan menyampaikan kuliah agama di Kelantan. – MalaysiaGazette

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments